Berdasarkan laporan Majlis Perancang Kewangan Malaysia (MFPC) pada tahun 2016, seramai  22,663 orang rakyat Malaysia yang berusia kurang daripada 35 tahun telah diisytiharkan muflis sepanjang tahun 2011 hingga 2015. Angka ini dikira amat memeranjatkan.

Mungkin anda tidak termasuk dalam golongan ini.  Namun jika anda juga sering kehabisan wang (pokai)  pada akhir bulan, atau anda mengalami kesukaran  untuk memenuhi keperluan perbelanjaan bulanan,  anda perlu melakukan sesuatu tentang pengurusan  kewangan anda.

Tidak dinafikan, kos sara hidup yang tinggi masa ini amat merisaukan, bukan sahaja kepada generasi milenial,  tetapi juga generasi sebelumnya, generasi X.

Jika anda dapat merancang kewangan anda dengan baik, maka anda dapat memperbaiki situasi kewangan anda. Sebelum anda mencari jalan untuk membaik pulih kedudukan kewangan, anda perlu mengenal pasti sebab anda mengalami masalah kewangan ini.

KENALI PUNCA MENGAPA ANDA MENGALAMI MASALAH KEWANGAN : 

1. Tidak membuat bajet bulanan

Sebab utama mengapa ramai orang sering mengalami masalah kekurangan wang ialah kerana tidak membuat bajet dan tidak mengawasi perbelanjaan bulanan.

Bajet membolehkan anda merancang dengan teliti perbelanjaan anda setiap bulan tanpa hilang fokus terhadap jumlah pendapatan yang boleh dibelanjakan.
Anda perlu memadankan segala perbelanjaan bagi keperluan utama setiap bulan dengan jumlah pendapatan bersih anda.

Anda mungkin terkejut apabila menyedari bahawa tidak banyak wang yang tinggal untuk perkara-perkara lain. Selama ini anda sebenarnya telah terlebih berbelanja.

Namun ramai yang tidak sedar hal ini, kerana setiap kali mereka kekurangan wang di dalam poket, mereka menggunakan kad kredit untuk membuat bayaran.

Dengan adanya bajet bulanan dan mematuhinya dengan penuh disiplin, anda akan mengetahui jumlah wang yang tinggal untuk dibelanjakan. Dengan ini anda tidak akan berbelanja sewenang-wenangnya.

2. Berbelanja melebihi pendapatan

Ini juga merupakan sebab mengapa individu sering kali kehabisan wang. Ini berpunca daripada sikap tidak membuat bajet dan kegagalan untuk membentuk disiplin bagi mengawal sikap boros.

Memang seronok untuk memiliki semua yang diinginkan seperti mempunyai model telefon pintar terkini, jenama beg tangan yang dipakai oleh selebriti terkenal dan sebagainya.

Sila ambil perhatian mengenai pesanan ini: Jika anda tidak mampu membeli sesuatu secara tunai, anda sebenarnya tidak mampu memilikinya. Dalam hal ini, pengecualian pada pembelian rumah atau kereta. Anda memerlukannya walaupun tidak mampu membeli secara tunai.

3. Anda menjalani kehidupan sosial yang mewah

Jika anda menetap di kawasan bandar, anda tidak boleh lagi menikmati sepinggan nasi ayam berharga RM5. Kini harga makanan untuk makan tengah hari lebih kurang RM10 sepinggan.

Jika anda merasa ini sudah cukup membebankan, realitinya anda juga mungkin tidak mampu untuk mengunjungi kafe-kafe pada setiap hujung minggu untuk menikmati kek dan smoothie.

Renungkan sejenak:- Adakah anda betul-betul perlu mengeluarkan belanja untuk makanan dan minuman di tempat-tempat mahal sebegini?

Jangan terkeliru antara keperluan dan kemewahan. Jika tidak mampu, tinggalkan sifat ingin berlebih-lebihan. Cari alternatif yang lebih berpatutan dan bersesuaian dengan bajet anda.

4. Tidak miliki matlamat kewangan

Semasa kanak-kanak, anda mungkin dibesarkan oleh ibu bapa yang sering memberi dorongan untuk memiliki cita-cita yang tinggi. Ibu bapa selalu berpesan kepada anak-anak mereka agar belajar rajin-rajin agar kelak menjadi doktor, peguam, jurutera dan sebagainya.

Tetapi berapa ramai ibu bapa yang berpesan kepada anak-anak mereka bahawa mereka memerlukan matlamat kewangan yang kukuh untuk menjalani kehidupan yang sejahtera?

Tidak hairanlah mengapa ramai yang tidak mengetahui tentang perancangan kewangan peribadi. Mereka menjalani kehidupan seolah-olah ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Mereka tidak mempunyai wang simpanan, perancangan untuk persaraan, tiada tabung kecemasan, tiada caruman takaful / insurans dan tiada sebarang pelaburan.

Masih belum terlambat untuk mulakan perancangan masa depan anda. Mula menabung, belajar tentang pelaburan dan mulakan tabung kecemasan. Perlindungan perubatan juga tidak boleh diabaikan.

5. Tidak celik kewangan

Anda tidak perlu menjadi seorang pakar dalam kewangan. Anda juga tidak perlu menghafal setiap perkataan dalam sebuah buku yang popular Robert Kiyosaki: Rich Dad Poor Dad. Tetapi jika anda tidak tahu berapakah perbelanjaan keperluan anda setiap bulan, atau berapakah kadar faedah yang dikenakan oleh syarikat kad kredit, anda sebenarnya menghadapi masalah besar.

Celik kewangan bererti anda memiliki pemahaman tentang kewangan yang membolehkan anda membuat perancangan kewangan yang bijak. Tujuan celik kewangan ialah supaya anda sentiasa mempunyai kesedaran untuk memperbaiki kedudukan kewangan anda dari semasa ke semasa.

TINGGALKAN JAWAPAN

Sila hantar komen anda!
Sila masukkan nama anda disini