Setiap orang memerlukan perlindungan daripada sesuatu keadaan yang tidak diingini. Terdapat beberapa keadaan utama dalam kehidupan yang memerlukan perlindungan iaitu kematian, kelumpuhan atau kecacatan dan penyakit kritikal yang juga dikenali sebagai 3D (death, disability dan disease), serta aset dan harta.

 1. KEMATIAN  

Anda perlu membuat persiapan untuk menghadapinya. Dalam hal ini, ia merupakan persiapan untuk waris yang ditinggalkan. Persiapan ini termasuklah tempat untuk mereka tinggal dan juga sumber kewangan untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup. Perlindungan insurans atau takaful tidak melindungi anda daripada kematian, sebaliknya membantu anda membuat persiapan kewangan untuk waris.

Bagi seorang suami atau ayah yang mempunyai tanggungan, jika berlaku kematian, beban tanggungan akan dipikul oleh isteri. Meskipun isteri turut bekerja, sedikit sebanyak akan terjejas kerana beban kewangan yang dahulu dipikul bersama-sama kini dipikul seorang diri.

Lebih teruk lagi jika isteri tidak bekerja, sudah pasti sukar untuk meneruskan hidup, apatah lagi dengan anak-anak untuk ditanggung. Jadi, jika ada pampasan daripada syarikat insurans atau takaful, sekurang-kurangnya nasib waris terbela.

Adalah dicadangkan supaya jumlah perlindungan yang diambil adalah menyamai atau melebihi 10 kali ganda jumlah keperluan kewangan tahunan. Contohnya, jika keperluan keluarga adalah RM36,000 per tahun (RM3,000 setiap bulan), maka jumlah perlindungan yang dicadangkan adalah RM360,000.

Dengan jumlah sebanyak ini, waris mampu bertahan sehingga 10 tahun daripada segi kewangan, iaitu satu jangka masa yang panjang sebelum mereka dapat berusaha mencari sumber kewangan sendiri.

 2.  LUMPUH / KECACATAN  

Secara peribadi, lumpuh atau kecacatan merupakan masalah kewangan yang besar. Apabila ditimpa keadaan ini, terutama jika mengalami lumpuh teruk, sumber pendapatan boleh terjejas sepenuhnya sedangkan anda juga memerlukan wang untuk keperluan hidup yang lain. Lumpuh atau kecacatan bukan sahaja boleh terjadi disebabkan kemalangan, malahan boleh juga disebabkan oleh penyakit-penyakit tertentu.

Oleh itu, anda perlu bersedia untuk menghadapi keadaan seperti ini. Berapakah jumlah perlindungan yang disarankan?

Sama seperti perlindungan kematian, jumlahnya yang dicadangkan adalah sekurang-kurangnya 10 kali ganda jumlah keperluan kewangan tahunan.

Lebih baik lagi jika jumlah perlindungan itu dapat menjana pendapatan pasif dividen, yang boleh digunakan untuk menampung keperluan hidup. Contohnya, jika jumlah perlindungan RM500,000 diperoleh sebagai pampasan, laburlah di tempat yang memberi dividen yang stabil, seperti di Tabung Haji atau unit amanah saham sebagai pendapatan pasif.

Dengan anggaran kadar dividen antara 5% hingga 8% setahun, jumlah dividen yang boleh diperoleh adalah sebanyak RM25,000 hingga RM40,000 setahun. Ini bersamaan antara RM2,000 hingga RM3,500 sebulan; satu jumlah pendapatan pasif yang boleh membantu menampung keperluan hidup pada masa akan datang.

 3. PENYAKIT KRITIKAL 

Antara penyakit-penyakit kritikal yang sering dialami rakyat Malaysia ialah penyakit jantung, kanser, strok, kencing manis dan kegagalan buah pinggang. Dengan amalan gaya hidup dan corak pemakanan yang tidak sihat, kadar penyakit kritikal di Malaysia semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Apabila diserang penyakit kritikal, terdapat dua perkara yang boleh merunsingkan, iaitu pendapatan yang terjejas dan kos rawatan yang tinggi. Meskipun masih mampu bekerja dan mencari pendapatan, sedikit sebanyak pendapatan akan terjejas jika kerap mengambil cuti sakit atau dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Untuk menjimatkan kos rawatan, anda boleh cuba rawatan di hospital kerajaan, tetapi mungkin perlu mengambil masa yang lama. Anda boleh mendapatkan rawatan di hospital swasta, tetapi kos rawatan adalah lebih mahal dan mungkin membebankan. Oleh yang demikian, anda perlukan perlindungan insurans atau takaful untuk mengurangkan bebanan kewangan ini.

Anda dicadangkan supaya mengambil skim perlindungan yang memberikan pampasan apabila diserang penyakit kritikal. Pampasan ini boleh digunakan untuk menggantikan pendapatan yang terjejas tersebut. Di samping itu, anda juga perlu mengambil kad perubatan, untuk menampung bil hospital dan kos rawatan.

 4. ASET / HARTA 

Setiap aset yang bernilai perlu dilindungi, seperti kereta, rumah dan perniagaan.
Jika ada lagi aset-aset yang dirasakan bernilai, ambillah perlindungan yang sewajarnya.
Dengan adanya perlindungan ini, sekurang kurangnya anda mendapat pampasan jika berlaku sebarang musibah.

Ini sekaligus dapat mengurangkan beban dan mengelakkan kerugian besar. Sebagai contoh, rumah anda mungkin mengalami kebakaran atau dilanda banjir. Anda boleh menuntut pampasan untuk memperbaiki kerosakan rumah.

Skim perlindungan juga penting untuk aset-aset yang masih mempunyai hutang. Sekurang kurangnya jika pendapatan terputus akibat kematian atau kelumpuhan, baki hutang akan diselesaikan oleh skim perlindungan yang diambil.

Oleh itu, ia tidaklah dibebankan ke atas waris. Sebaik-baiknya, anda perlu memastikan semua perkara ini dilindungi secukupnya sebelum mengambil skim skim perlindungan yang lain.

 

TINGGALKAN JAWAPAN

Sila hantar komen anda!
Sila masukkan nama anda disini