Setiap individu mempunyai alasan tersendiri untuk berhutang. Ada yang berhutang untuk tujuan peribadi. Ada pula yang berhutang untuk tujuan perniagaan. Sesetengah individu pula berhutang kerana terdesak.

Pengurusan hutang pula merupakan satu aktiviti yang agak rumit dan memerlukan individu untuk mempunyai ilmu, terutamanya daripada segi pengurusan kewangan peribadi. Malangnya, tidak ramai yang mendalami ilmu pengurusan kewangan peribadi di negara ini.

Ramai yang sedia maklum akan tujuan mereka berhutang. Namun, tidak ramai yang boleh membuat penilaian sama ada hutang yang diambil itu ialah hutang perlu atau sebaliknya. Amat penting untuk mengetahui jenis-jenis hutang dan sebab berhutang supaya peminjam menjadi lebih fokus sewaktu menangani bebanan hutang kelak.

Apakah Yang Perlu Dilakukan Untuk Menangani Bebanan Hutang ?

Hutang selalunya dianggap sebagai beban. Namun bagi segelintir individu, hutang juga boleh digunakan sebagai peluang dan memberi kemudahan serta langkah untuk memberi keuntungan. Meskipun anda mempunyai berlainan pandangan terhadap hutang, ia perlu diuruskan dengan fokus dan teratur.

Berikut merupakan strategi untuk menangani bebanan hutang anda :

 1. Hentikan Penambahan Hutang 

Perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah berhenti daripada menambah hutang baharu, terutama hutang yang melibatkan kad kredit. Seterusnya, anda perlu mendalami ilmu dan selok-belok tentang jenis jenis hutang anda. Anda perlu menganalisis dan mengira jumlah faedah yang perlu anda bayar untuk menjelaskan hutang tersebut.

Lumrahnya, hutang yang dikenakan kadar faedah yang paling tinggi, seperti hutang kad kredit, adalah hutang yang akan paling membebankan anda.

2. Lakukan Pembayaran Lebih Awal Daripada Tarikh Yang Ditetapkan 

Anda perlu mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan hutang kad kredit dengan membayar lebih daripada bayaran minimum yang dikenakan dan dalam tempoh yang lebih singkat. Jangan sekali kali membayar lewat kerana anda akan dikenakan caj bayaran yang akan memburukkan lagi keadaan. Disiplinkan diri untuk membayar hutang pada atau sebelum tarikh yang ditetapkan.

3. Pembayaran Lebih tinggi Daripada Jumlah Minimum 

Jika anda mempunyai wang yang lebih, seperti mendapat bonus, gunakan wang tersebut untuk melangsaikan hutang. Dengan cara ini, anda akan dapat mengurangkan jumlah baki pinjaman. Apabila jumlah baki pinjaman rendah, jumlah bayaran untuk faedah juga berkurangan. Dengan ini, anda akan dapat melunaskan hutang dalam masa yang lebih singkat daripada tempoh asal. Jika anda mempunyai wang simpanan yang boleh digunakan untuk melangsaikan hutang, gunakan cara ini.

4. Ambil Langkah Yang Mendorong Kepada Pengurangan Kadar Faedah 

Anda juga perlu rajin mencari maklumat mengenai cara untuk mengurangkan faedah yang dikenakan ke atas hutang anda. Terdapat produk di pasaran yang menawarkan pindahan baki hutang kad kredit daripada bank pengeluar kad kredit ke bank yang lain tanpa mengenakan sebarang faedah. Ini akan memberi penjimatan yang sewajarnya kepada anda dan wang yang telah dijimatkan tersebut bolehlah digunakan untuk membayar  faedah pinjaman dan seterusnya mengurangkan baki pokok hutang anda.

5. Perancangan Pembelian Yang Teliti 

Setiap perbelanjaan yang dilakukan mestilah dengan perancangan yang teliti. Anda
digalakkan untuk membeli barang yang diperlukan sahaja dan bukan membeli barang yang anda suka.

Pembaziran seperti ini akan menyebabkan anda berhutang untuk memenuhi nafsu berbelanja yang tinggi. Tambahan lagi, apabila tiba musim gaji, perkara pertama yang perlu dilakukan sebaik mendapat gaji bulanan ialah membayar hutang dan bil-bil bulanan. Selepas membayar hutang, perbelanjaan barang keperluan perlu dibuat dengan sebaiknya bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.

Anda mesti berbelanja dengan sebaik-baiknya. Membeli sesuatu mengikut kemampuan dan tidak berbelanja melebihi kemampuan diri.

6. Peruntukan Simpanan Awal 

Jangan belanjakan semua wang gaji yang diterima. Anda perlu membuat simpanan untuk kegunaan pada masa hadapan atau pada waktu kecemasan kerana kita perlu sentiasa bersedia menghadapi waktu tersebut bila-bila masa sahaja.

Setidak-tidaknya, anda boleh mengeluarkan simpanan untuk kegunaan masa kecemasan dan bukan berhutang dengan pihak lain pula. Cara terbaik ialah memperuntukkan sebahagian daripada gaji terlebih dahulu sebagai simpanan.

Kesimpulannya, anda harus bermula lebih awal untuk menangani bebanan hutang anda sebelum diisytihar muflis.

TINGGALKAN JAWAPAN

Sila hantar komen anda!
Sila masukkan nama anda disini