Kerajaan telah mengumumkan pelantikan lima Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd baru dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi.

Turut dilantik sebagai Pengarah adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato Seri Mohamed Azmin Ali; Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Mohd Hassan Marican; bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dr Sukhdave Singh; dan Pengerusi Maybank Asset Management Group Bhd, Goh Ching Yin.

Menurut Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini, perlantikan tersebut berkuatkuasa serta merta.

Namun, perlantikan lembaga pengarah Khazanah Nasional yang baru tersebut menunjukkan bahawa Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak dapat menjamin janji-janjinya, kata Timbalan Presiden MCA, Wee Ka Siong.

Wee turut mengatakan bahawa HARAPAN berjanji pada pilihan raya umum ke-14 untuk mengurangkan kuasa perdana menteri dan tidak akan ada sebarang lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Sekalipun mereka mahu melantik ahli politik ke lembaga pengarah Khazanah, bukankah seharusnya mereka melantik menteri kewangan untuk lembaga itu, memandangkan Khazanah dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan, sebuah badan yang diperbadankan menurut Akta Menteri Kewangan (Pemerbadanan ) 1957?

“Adakah menteri kewangan hanya layak menjadi penjaga buku kira-kira dan menjaga Tabung Harapan tetapi tidak cukup layak untuk menjawat lembaga pengarah satu-satunya syarikat pelaburan dana negara kita?”

Isu tersebut dibangkitkan berikutan manifesto kerajaan yang menjanjikan pemusatan kuasa perdana menteri dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan memindahkan beberapa agensi di bawah JPM kepada kementerian lain, bagi mewujudkan mekanisme serta keseimbangan mampan.

 

TINGGALKAN JAWAPAN

Sila hantar komen anda!
Sila masukkan nama anda disini