Enam daripada 10 kaunter saham utama berkaitan Khazanah Nasional Bhd di Bursa Malaysia mengalami penyusutan yang ketara dengan kerugian kira-kira RM2 bilion daripada nilai gabungan pasaran dalam tempoh sehari.

Hal tersebut dikatan berpunca daripada pengesahan Khazanah tentang penawaran peletakan jawatan oleh semua ahli Lembaga Pengarahnya termasuk Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar daripada menduduki kerusi Lembaga Pengarah syarikat.

Amnya, kerugian dalam permodalan pasaran Khazanah itu dilaporkan bersamaan dengan nilai pasaran dua syarikat modal kecil.

Axiata Group Bhd, kaunter dana kedua terbesar di Bursa Malaysia mengalami kerugian paling buruk dalam indeks penanda aras utama sebanyak 3.93%.

Kaunter berkaitan Khazanah yang turut mengalami kerugian adalah Malaysia Airports Holdings Bhd, Telekom Malaysia Bhd, CIMB Group Holdings Bhd, UEM Sunrise Bhd dan UEM Edgenta Bhd.

Penurunan saham utama Khazanah itu bagaimanapun menyamai kenaikan FTSE Bursa Malaysia KLCI yang mengumpul 0.14% dalam keuntungan harian dengan ditutup pada 1,766.23 mata.

Namun, kaunter berkaitan Khazanah yang lain iaitu Time Dotcom Bhd menyaksikan lonjakan sahamnya sebanyak 1.12% kepada RM8.14, Tenaga Nasional Bhd naik 1.48% kepada RM15.10 dan IHH Healthcare Bhd meningkat 0.5% kepada RM6.

Astro Malaysia Holdings Bhd pula ditutup mendatar daripada penutupan hari Rabu.

Ketua Penyelidik MIDF, Redza Rahman, berkata kejatuhan ini bagaimanapun hanyalah bersifat jangka pendek.

Penganalisis pasaran saham, Nazarry Rosli pula menjangkakan peralihan kepimpinan pengurusan Khazanah akan berjalan lancar.

“Kami mengharapkan mereka yang akan dilantik kelak bagi mengambil alih pengurusan kanan dan ahli Lembaga Pengarah adalah individu yang berkebolehan, berpengalaman dan profesional,” katanya.

Semalam, 9 Lembaga Pengarah Khazanah Nasional meletak jawatan bagi memberi laluan kepada kerajaan baru untuk memutuskan kepimpinan serta hala tuju syarikat pelaburan tersebut.

Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Nor Md Yusof bersama-sama Pengarah lain yang turut meletak jawatan termasuk Datuk Seri Nazir Razak, Datuk Dr Nirmala Menon, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Datuk Mohammed Azlan Hashim, Yeo Kar Peng, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao dan Raja Tan Sri Arshad Raja Uda.

Keputusan tersebut diambil beberapa minggu setelah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik Khazanah Nasional kerana menyimpang daripada tujuan asal penubuhannya untuk membantu Bumiputera.

TINGGALKAN JAWAPAN

Sila hantar komen anda!
Sila masukkan nama anda disini