Emas dan hartanah adalah dua jenis aset yang berbeza namun menjadi kegemaran orang ramai yang ingin memulakan atau telah membuat pelaburan.

Pasti, ramai individu mempunyai emas. Ia merupakan salah satu daripada matawang yang paling lama wujud meskipun kini digantikan kepadawang fiat.

Emas telah diterima buat pertama kalinya sebagai instrumen pelaburan di dalam kewangan Islam selepas Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), badan yang dibentuk bagi menetapkan standard industri berkenaan patuh Syariah telah mengeluarkan Standard Syariah pada 19 November 2016.

Jadi persoalannya adalah, di antara emas dan hartanah, mana lebih baik? 

Secara amnya, kedua-dua daripada tersebut adalah baik dan mempunyai kelebihan serta kekurangan masing-masing. Ia juga bergantung kepada individu untuk memanfaatkan kedua aset tersebut.

Analoginya adalah, anda membandingkan motosikal dan kereta. Motosikal lebih baik dari segi penjimatan masa dari terkandas kesesakan, jimat kos tol dan petrol manakala kereta lebih baik dari segi risiko kemalangan, selamat dari hujan.  Masing-masing mempunyai kelebihan. Begitu jugalah antara emas dan hartanah.

 EMAS IDEAL SEBAGAI SIMPANAN JANGKA PANJANG 

Emas merupakan aset yang ideal untuk SIMPANAN jangka panjang yang mudah dicairkan. Menyimpan emas seolah-olah membolehkan individu menyimpan wang tunai dalam bentuk yang lebih selamat nilainya. Apabila kecemasan, cagaran di ar-rahnu juga ditawarkan untuk mendapatkan pinjaman segera, atau terus dijual untuk mendapatkan wang secara tunai.

Pada masa yang sama, emas boleh dijadikan alternatif simpanan bagi mereka yang diisytihar bankrap berikutan emas adalah satu-satunya aset kewangan yang tiada dalam sistem kewangan. Pendek kata, tiada siapa tahu berapa banyak emas yang anda ada.

Pihak bank tidak boleh mengesan simpanan emas anda, apatah lagi untuk dibekukan sebagaimana aset-aset kewangan yang lain.

Emas juga merupakan aset yang paling selamat dari sebarang ketidaktentuan ekonomi dan politik negara. Sekiranya berlaku huru-hara dan peperangan, pemilik emas boleh bawa kekayaannya ke mana sahaja dan mulakan hidup baru.

Namun, pelaburan emas masih mempunyai risiko termasuk risiko penipuan dan kecurian.

 PELUANG MERAIH KEUNTUNGAN DENGAN PINJAMAN 

Hartanah pula merupakan medium yang baik untuk menggandakan kekayaan atau keuntungan dengan hutang baik. Ia hutang yang membuatkan individu meraih lebih keuntungan. Dan mungkin hartanah menjadi di antara pelaburan paling cepat memberikan keuntungan menerusi leverage PINJAMAN bank. Bank berlumba-lumba untuk memberikan pinjaman perumahan kerana ia aset yang sangat “secure” bagi bank.

Di samping itu, harga rumah semakin mendapat permintaan. Pendapatan pasif juga dapat dijana menerusi sewaan bulanan dengan hartanah. Hasil kutipan sewa kebiasaannya menjadi kos pembayaran pinjaman bank, seolah-olah orang lain bayarkan rumah yang akhirnya jadi milik kita.

Sekiranya anda membeli rumah selepas 5 tahun, dan mengalami masalah untuk membayar kembali, rumah (aset) tersebut mampu dijual kembali dengan harga yang lebih tinggi manakala jika melibatkan kematian, aset hartanah tersebut 100% menjadi milik keluarga (ahli waris) secara percuma jika perlindungan takaful diinsuranskan.

Apabila ketidaktentuan berlaku, aset fizikal akan bertahan serta mampu memberi jaminan kewangan pada masa akan datang.

Namun, amat penting bagi pelabur untuk mendalami ilmu pelaburan sebelum melakukan sebarang keputusan pelaburan bagi mengelakkan ketidakmampuan mengawal risiko bahkan muflis.

TINGGALKAN JAWAPAN

Sila hantar komen anda!
Sila masukkan nama anda disini