Apakah cara yang paling sesuai bagi rakyat Malaysia yang ingin menyimpan wang ?

Jawapannya, tiada satu teknik yang sesuai dan praktikal bagi menyimpan wang untuk semua individu. Setiap individu mempunyai sumber pendapatan dan keperluan kewangan yang unik dan berbeza. Namun, masih terdapat banyak inisiatif mudah dan praktikal untuk dicuba.

Umumnya, usaha menabung atau menyimpan bukanlah dilakukan ketika mempunyai lebihan wang sahaja. Usaha ini sangat memerlukan disiplin dan perancangan kewangan yang bijak. Malah, usaha menyimpan ini membantu individu untuk mempunyai kewangan yang stabil.

Mari ikuti tips ini ;

#1 Menyimpan Dengan Konsisten 

Pastikan anda menyimpan setiap bulan iaitu sekurang-kurangnya 10% daripada jumlah pendapatan. Setelah menetapkan jumlah tabungan setiap bulan, pastikan jumlah tersebut disimpan dahulu sebelum mula membuat pembayaran bil dan pelbagai pinjaman yang ada.

Jika anda tidak mampu menyimpan 10% daripada jumlah pendapatan, itu tidak mengapa. Jangan putus asa. Yang penting ialah mewujudkan tabiat menyimpan. Mungkin pada awalnya anda cuma tetapkan untuk jimat RM20 setiap minggu dan kamu akan ada simpanan RM80 setiap bulan. Tidak mengapa, teruskan menyimpan.

Adalah lebih baik sekiranya anda membuat potongan gaji dimasukkan terus ke dalam simpanan. Ada banyak institusi kewangan yang menawarkan khidmat ini, misalnya Tabung Haji dan ASB. Anda boleh memohon kepada majikan untuk membuat potongan ini.

#2 Pemantauan Pengeluaran Wang ATM 

Adalah sangat penting untuk anda mengawasi pengeluran wang melalui ATM. Bukan sekadar mengelak penipuan dan penggunaan kad oleh pihak lain, malah untuk mengetahui jumlah aliran tunai yang dikeluarkan. 

Sebaik-baiknya tetapkan dalam satu minggu hanya satu pengeluaran. Pastikan anda tahu jumlah yang diperlukan. Jangan terlalu banyak dan terlalu sedikit. Cukup untuk sekadar guna. Jika ada lebihan daripada wang itu, terus simpan. 

#3 Perancangan Bajet / Belanjawan 

Bagi yang berkeluarga, adalah sangat membantu jika anda melakukan belanjawan atau bajet keluarga anda untuk mengetahui corak perbelanjaan keluarga. Maksudnya di sini anda dapat mengenal pasti sama ada perbelanjaan anda lebih menjerumus kepada keperluan atau keinginan. 

Dengan adanya bajet, anda tahu bagaimana anda membelanjakan wang serta bagaimana cara untuk menjimatkan wang, seterusnya dapat menyimpan lebihan wang berkenaan.

#4 Penyediaan Senarai Memberi-Belah 

Mungkin tips ini kelihatan sangat rumit namun ia membantu anda menetapkan perbelanjaan anda dengan lebih kondusif.

Apabila keluar membeli barangan keperluan rumah, pastikan senarai barang yang hendak dibeli sudah dibawa. Hanya beli barang yang ada dalam senarai! Jangan mudah tergoda dengan jualan murah sehingga kamu membeli barang yang bukan keperluan. Ingat, berbelanja barang keperluan bukan barang keinginan.

#5 Kurangkan Mengguna Kad Kredit 

Kad kredit kini semakin mudah diperoleh.

Untuk kecemasan, kad kredit amat berguna namun kini penggunaannya amat berleluasa. Ia digunakan secara meluas untuk menggantikan wang. Berkemungkinan besar anda sentiasa tidak sedar aliran wang yang digunakan. Mudah sahaja membeli barang keinginan dan bukan keperluan.

Dengan bayaran minimum setiap bulan, hutang kita akan bertambah dan berpanjangan. Kadar faedah yang dikenakan juga tinggi. Jika tidak percaya cuba kira berapa kadar faedah yang dikenakan setiap bulan.

Sebagai contoh, anda membeli televisyen baru yang bernilai RM2000 menggunakan kad kredit dengan kadar faedah 18% setahun. Jika kamu hanya bayar kadar minimum setiap bulan, kamu mungkin mengambil masa selama 6 1⁄2 tahun untuk melupuskan hutang itu.

Dan jumlah sebenar yang dibayar ialah RM3300. Dengan lebihan wang tadi, sudah cukup untuk membeli sebuah mesin basuh baru! Jadi lebih baik kamu kumpul duit dan beli barang secara tunai. Atau gunakan kad kredit dan pastikan bayaran penuh dibuat dalam masa 20 hari ataupun sebelum dikenakan sebarang faedah. 

TINGGALKAN JAWAPAN

Sila hantar komen anda!
Sila masukkan nama anda disini