Utama Informasi Apakah Yang Berlaku Ketika Perang Perdagangan A.S.-China?

Apakah Yang Berlaku Ketika Perang Perdagangan A.S.-China?

213
0

Pasaran atau ekonomi negara kuasa besar dunia, A.S. dianggarkan bernilai lebih $18 trilion, bersamaan kira-kira RM73 trilion setakat awal 2017, manakala pasaran China pula bernilai sekitar $11 trilion, bersamaan kira-kira RM44.6 trilion.

Namun demikian, statistik biro bancian AS menyatakan bahawa negara itu mengeksport barangan bernilai hampir $130 bilion ke China sehingga akhir tahun lalu manakala import A.S. pula mencecah $505.4 bilion.

p/s: Defisit perdagangan pula berlaku apabila nilai import melebihi nilai eksport.
Dalam usaha mengurangkan defisit perdagangan yang signifikan oleh Beijing-Washington, China perlu membeli barangan AS bernilai sehingga $200 bilion pada setiap tahun yang bersamaan dengan 600 pesawat Boeing.
 

Langkah tersebut dikatakan tidak praktikal selain mampu memberi kesan negara-negara lain yang berurus niaga dengan China ekoran Beijing terpaksa membatalkan import dari negara-negara berkenaan semata-mata untuk memenuhi kehendak Washington.

Perubahan Dasar Perdagangan Trump 

Presiden Donald Trump menyifatkan ketidakseimbangan perdagangan tersebut sebagai situasi yang merugikan negara dan rakyatnya.

Malah, A.S. bukan sahaja merasakan negaranya diancam oleh Beijing tetapi juga Eropah, Kanada, Mexico, Jepun dan Jerman sekaligus mencatatkan defisit perdagangan terbesar dengan sekutu ini.

Menganggap China dan negara-negara berkenaan termasuk EU mengambil kesempatan dan membuli pentadbiran sebelumnya, Trump berikrar untuk mengubah dasar perdagangan bagi melindungi A.S.

Susulan itu, White House mengumumkan cukai import atau tarif berjumlah 25% ke atas import China bernilai $50 bilion diikuti tarif tambahan mencecah puluhan bilion yang akan menjadikan harga barangan dari China lebih mahal dan kurang kompetitif di A.S. pada akhir bulan Mei 2018 sebagai repsons terhadap amalan dagangan China yang dikatakan mendiskriminasikan A.S. ke atas permasalahan harta intelek teknologi A.S. oleh China.

Sebagai tindak balas, China mengumumkan tarif yang sama sekaligus mengundang perang perdagangan.

Trump bertindak lebih drastik dengan mengumumkan tarif keluli 25% dan 10% tarif aluminium ke atas import dari EU, Kanada dan Mexico iaitu tiga sekutu AS yang paling rapat. pada 29 Mei yang berkuatkuasa pada 1 Jun 2018.

Tindakan tersebut menyebabkan logam yang dijual oleh negara asing melambung tinggi di A.S., kesan yang diharapkan oleh Trump dapat menguntungkan dan memberikan monopoli pasaran serta harga kepada pengeluar tempatan.

Tarif keluli tersebut mampu menjejaskan pengeluar automobil A.S. seperti firma Ford Motor dan General Motors selain pengilang aeroangkasa termasuk Boeing dan Lockheed Martin serta tidak terkecuali pengeluar peralatan dalam rumah, Whirlpool.

“Langkah ini tidak akan berjaya jika tidak disusuli oleh tarif automobil. Ia akan menyebabkan kenderaan keluaran AS menjadi lebih mahal daripada yang diimport,” kata ahli ekonomi dari Universiti Indiana, Kyle J. Anderson.

Menyedari kesilapan itu, Trump baru-baru ini mengumumkan ancaman untuk mengenakan tarif tinggi ke atas kenderaan yang diimport dari EU dengan Jerman bakal mengalami kerugian terbesar jika cukai import tersebut dikuatkuasakan.

A.S. minggu ini telah mengenakan tarif sebanyak 25% ke atas 818 barang dari China yang bernilai $34 bilion sekaligus merancang untuk mengenakan tarif ke atas barangan China dengan jumlah $16 Bilion.

Namun China memberi respons dengan mengenakan 25% tarif ke atas 545 barangan A.S. yang bernilai $34 Bilion serta menanti untuk melepaskan tarif tambahan ke atas 114 barangan bernilai $16 Bilion jika terus diancam.

Perang Perdagangan, Ekonomi Global Sebagai Taruhan

Trump menyatakan pada Mac tahun ini bahawa untuk memenangi perang perdagangan, adalah sangat mudah setelah retorik sama yang pernah dizahirkan sebelum Washington terlibat dalam perang yang merugikan di Iraq pada 2003.

Hal ini kerana Beijing kelihatan lebih banyak bergantung kepada rakan dagangannya itu berbanding A.S. kepada China dan mengatakan bahawa Beijing pasti menurut kehendak Wahsington sekaligus tidak meruncingkan ketegangan sedia ada.

Keyakinan tersebut menyebabkan pentadbiran Trump menguatkuasakan tarif berjumlah $34 bilion ke atas produk China daripada pelbagai industri termasuk aeroangkasa dan teknologi maklumat di samping alat ganti kenderaan serta peralatan perubatan. Beijing pula mengancam untuk mengenakan tarif serupa ke atas import A.S. pada hari yang sama.

Trump juga mengugut akan melaksanakan tarif tambahan ke atas barangan China berjumlah AS$400 bilion lagi jika Beijing mengambil tindakan balas.

Tindakan Trump melancarkan dua perang perdagangan terhadap China dan EU serentak dan disifatkan sebagai tindakan yang tidak bijak.

Pertumbuhan dan ekonomi A.S. secara amnya dibiayai oleh pendapatan eksportnya ke negara-negara luar dan kemakmuran ekonomi global, malah, ia tiada kaitan dengan inisiatif ekonomi yang dilaksanakan oleh Trump.

Kemelesetan ekonomi global juga merupakan situasi yang tidak mudah dipulihkan kesan daripadanya.

Perang perdagangan ini merupakan perjudian terbesar beliau dengan kekayaan negara, nasib rakyat A.S. dan yang paling penting, ekonomi global menjadi taruhan.

 

TINGGALKAN JAWAPAN

Sila hantar komen anda!
Sila masukkan nama anda disini

error: Content is protected !