Bursa Malaysia telah melakukan pivot dan dibuka lebih tinggi pagi ini, meningkatkan keyakinan dan mengembalikan sesi belian dalam kaunter utama terpilih, setelah mencatat penyusutan ketara baru-baru ini.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI, menokok 24.03 mata pada 1,743.31 pada 9.16 pagi berbanding 1,719.28 penutup semalam.

Indeks itu dibuka 12.37 mata lebih kukuh kepada 1,731.65.

Pada masa yang sama, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 323 berbanding 125 manakala 1004 tidak berubah, 482 tidak didagangkan dan 54 yang lain digantung.

Sejumlah 859.67 juta saham bertukar tangan dengan nilai RM332.39 juta.

Public Investment Bank Bhd, dalam satu nota penyelidikan pagi ini, berkata pasaran pulih daripada kejatuhan semalam setelah krisis politik Itali yang semakin memulih.

Selain itu, junaman saham semalam berlaku disebabkan oleh sell-off pelabur asing yang bimbang akan dasar fiskal kerajaan baru disusuli oleh pembatalan projek mega yang memberi kesan kepada saham ini.

Dalam kalangan kaunter utama, Maybank menokok 19 sen kepada RM9.76, Public Bank naik 28 sen kepada RM24.26, TNB menambah 60 sen kepada RM14.74, Petronas Chemicals naik 12 sen pada RM8.11, dan CIMB menambah 9 sen kepada RM5.99.

Dalam kalangan kaunter aktif, Sapura Energy mengukuh dua sen kepada 60.5 sen, MyEG naik satu sen kepada 77.5 sen, Hibiscus Petroleum naik tiga sen kepada 90.5 sen, manakala Anzo dan P.A Resources mendatar masing-masing pada 5 sen dan 6 sen.

TINGGALKAN JAWAPAN

Sila hantar komen anda!
Sila masukkan nama anda disini