Baru-baru ni syarikat yang seringkali dilanda kontroversi oleh pelbagai aspek kini telah tampil dengan berita terbaru. Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) milikan penuh oleh kerajaan Malaysia ini telah mengeluarkan laporan kewangan yang menunjukkan nilai positif dengan mencatatkan keuntungan bersih (selepas cukai) sebanyak RM8.46 juta bagi suku pertama yang berakhir pada tarikh 31 Mac 2018 lalu, berbanding kerugian bersih yang dialami iaitu sebanyak RM32.199 juta hasil daripada peningkatan produktiviti dan sumbangan tinggi daripada sektor gula, logistik serta perniagaan sokongan.  Manakala keuntungan sebelum cukai oleh FGV adalah sebanyak RM26.22 juta.

“Kami menjangka trend yang bertambah baik ini berterusan, kerana kami telah pun melihat hasil daripada usaha untuk meningkatkan prestasi kami”.

“FGV telah mengambil pekerja yang mencukupi bagi memenuhi keperluan. Kami juga giat menanam semula bagi membaiki profil usia pokok kami. Masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Kami menumpukan kepada mencapai keputusan,” kata Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya iaitu Datuk Zakaria.

 

Bagi institusi perbankan gergasi ini pula iaitu Malayan Banking Bhd (Maybank), kumpulan bank keempat terbesar Asia Tenggara telah mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 13.7 peratus kepada RM2.56 bilion bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2018 berbanding RM2.25 bilion pada tahun 2017. Manakala keuntungan bersih (selepas cukai) yang diperolehi oleh Maybank adalah sebanyak RM 1.87 bilion mewakili 9.9 peratus berbanding tahun lalu iaitu RM 1. 70 bilion.

Pengerusi Kumpulan Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin, berkata meskipun dilanda ketidaktentuan geopolitik global, suku pertama yang menggalakkan itu membuktikan strategi berjaya, disiplin serta fokus terhadap perancangan perniagaan.

Katanya, walaupun berlaku situasi tidak menentu dalam persekitaran operasi, kumpulan itu sentiasa optimis dengan masa depan yang positif di rantau ini, terutamanya di pasaran.

“Secara khusus, kami menanti dasar-dasar yang dijangka diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia yang baharu yang mana kami berharap ia dapat memacu pelaburan sektor swasta dan meningkatkan keyakinan pengguna,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kumpulan Maybank turut merekodkan pendapatan operasi bersih berjumlah RM5.83 bilion pada suku dikaji, mewakili peningkatan 5.4 peratus berbanding tahun sebelumnya. – Sumber BH

 

 

TINGGALKAN JAWAPAN

Sila hantar komen anda!
Sila masukkan nama anda disini