Pernahkah anda tertanya-tanya mengenai bagaimana wang dicipta dan apakah proses yang terlibat dalam penciptaan wang ?

Secara amnya, kerajaan berperanan mencetak wang fiat di dalam negara. Walaubagaimanapun, pencetakan tersebut hanya mewakili 3% daripada jumlah wang dalam negara dan selebihnya dicipta melalui pinjaman bank komersial.

MYR kini disandarkan kepada USD untuk mengukur kekuatannya setelah hampir sedekad menyandarkannya kepada emas (zaman kesultanan melayu).

**Analogi bakal digunakan di dalam artikel ini bagi memberi kefahaman lebih lanjut mengenai penciptaan wang. 

 Wang Negara Bermula Dengan $0 

Bagi memudahkan kefahaman terhadap sistem ciptaan wang di dalam ekonomi negara dan peranan bank negara serta komersial, mari kita andaikan bahawa wang kertas negara bermula dengan $0.

Contohnya, seorang pegawai tertinggi kerajaan berpendapatan $10,000 sebulan. Bagaimana kerajaan mendapatkan $10,000 tersebut untuk membayar gaji anda sedangkan wang di dalam negara adalah $0 ?

 Pengeluaran Bon = Penciptaan Wang 

Wang tersebut secara teknikalnya diperoleh melalui pinjaman.
Kerajaan bakal mengeluarkan bon (I.O.U) serta meminjam daripada Bank Negara. 

Bagaimanakah Bank Negara memperoleh $10,000 sedangkan wang dalam negara masih $0 ?

Di sini, proses pencetakan wang berlaku sekaligus Bank Negara bakal mencetak wang berjumlah $10,000 bagi memberikan pinjaman kepada kerajaan.

Berdasarkan artikel bon sebelum ini, peminjam dikehendaki membayar pinjaman dengan kadar faedah dan kupon.

 $10,000 Pertama Dalam Negara 

Kerajaan membayar pinjaman $10,000 tadi kepada pegawainya dan beliau mendepositkannya ke bank.

Situasi yang sama berlaku jika pegawai tadi membelanjakan $10,000, menyebabkan penjual mendepositkannya ke bank dengan jumah yang sama.

Kini, wang di dalam negara berjumlah $10,000.

 Sistem Rizab 10% 

Berdasarkan simpanan $10,000, bank menjadikan 10% ($1000) sebagai rizab Bank Negara.  

Bank diberi kelulusan mencipta wang baru bersamaan gandaan 90% ($9,000) sebagai pinjaman baru. Wang ini tidak dicetak tetapi sekadar jumlah yang direkodkan dalam sistem perbankan.

 Penciptaan Pinjaman Wang Yang Baru 

Bank bakal meminjamkan wang $9000 yang baru kepada peminjam baru (Aminah) dan merekodkan akaun aset bank bersamaan dengan akaun liabiliti peminjam.

Seperti pegawai kerajaan tadi, peminjam ini (Aminah) mendepositkannya ke bank atau membelanjakannya dan penjual mendepositkan amaun yang sama ke bank.

Kini, jumlah aliran wang dalam negara bertambah kepada $19,000 daripada $10,000.

 Kitaran Sistem Rizab 10% 

Bagi simpanan yang berjumlah $9,000 ini, Bank menjadikan $900 (10%) sebagai rizab dan berupaya mencipta wang baru melalui pemberian pinjaman sebanyak $8,100, iaitu gandaan 90% daripada rizab $900.

Pinjaman $8,100 tersebut diambil oleh pengguna baru (Zamri) dan membelanjakannya. Penjual mendepositkan $8,100 dan jumlah wang dalam negara bertambah daripada $19,000 kepada $27,100.

 Penambahan Wang Melalui Pinjaman Baru 

Secara keseluruhannya, proses penciptaan wang adalah melalui pinjaman $9,000 dan $8,100 akan berterusan kepada ciptaan wang baru bagi pinjaman $7,290, $6,561, $5,905, 5,314 dan sehinggalah ciptaan wang baru melalui pinjaman bertambah daripada $10,000 kepada $90,000.

 Kadar Faedah Pinjaman Tidak Dicipta 

Terdapat persoalan penting bagi kaedah ciptaan wang di atas. Sistem di atas menjelaskan bank hanya mencipta wang prinsipal melalui pinjaman, manakala wang bagi membayar kadar faedah pinjaman tidak dicipta.

Contohnya, jika bank menetapkan bunga 10% bagi pinjaman $10,000 bagi tempoh 10 tahun(berdasarkan bon), ini bermaksud kerajaan dikehendaki membayar kembali $20,000 kepada Bank. Jika keseluruhan pinjaman berjumlah $100,000, maka jumlah yang perlu dibayar kembali ialah $200,000.

Oleh yang demikian, kerajaan terpaksa mengambil pinjaman baru berjumlah $10,000 untuk menanggung bunga pinjaman asal seperti yang dijelaskan di dalam artikel bon sebelum ini.

TINGGALKAN JAWAPAN

Sila hantar komen anda!
Sila masukkan nama anda disini