Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sekali lagi mengadakan sidang media setelah Dato Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dan mendapat pengampunan Agung.

Ketika sidang media Anwar, beliau menyatakan bahawa beliau telah memaafkan Tun M.

Beliau memberi kenyataan mengenai siasatan isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan mengatakan bahawa beliau akan menggiatkan usaha tuntutan wang dan menghubungi pihak terlibat yang ada di negara luar termasuk Switzerland, A.S. dan juga Singapura.

“Kita akan berusaha mendapatkan kembali wang Malaysia”, katanya.

Tun Mahathir turut menegaskan bahawa setiap individu yang didapati terlibat dengan kesalahan ketika siasatan, bakal diambil tindakan segera.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa perbelanjaan kerajaan bakal dikurangkan berikutan pembaziran yang berleluasa.

“Terlalu ramai pegawai kontrak dan sesetengah daripada mereka menggunakan politik sebagai cara halus untuk mendapatkan kontrak”, tambahnya. “Perbelanjaan lain juga bakal dikaji semula untuk kita kurangkan perbelanjaan negara”. 

Dari aspek penyiasatan pula, individu yang menjadi suspek malah mantan Perdana Menteri disekat daripada meninggalkan negara buat masa ini selagi siasatan masih dijalankan. Pegawai atasan yang menjadi suspek bakal digantung buat sementara waktu sehingga undang-undang menentukan keputusan penyiasatan.

“Jika didapati bersalah, PDRM bakal mengambil tindakan serta merta”. “Kita juga mungkin kena tukar slogan 1Malaysia ni kepada yang baru”, ujar beliau diakhir ucapannya.

TINGGALKAN JAWAPAN

Sila hantar komen anda!
Sila masukkan nama anda disini