Council of Elders (COE) atau dikenali sebagai Majlis Penasihat telah ditubuhkan oleh Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad bagi merangka kertas kerja Kabinet baru yang dianggotai oleh lima tokoh besar negara.

Dalam sidang akhbar khas yang diadakan di ibu pejabat Pakatan Harapan (PH) di Bangunan Yayasan Selangor, Tun Mahathir mengumumkan bahawa Majlis Penasihat tersebut bakal dianggotai oleh:

  • Tun Daim Zainuddin
  • Tan Sri Zeti Akhtar Aziz
  • Tan Sri Hassan Merican
  • Tan Sri Robert Kuok Hock Nien
  • Dr Jomo Kwame Sundaram

Majlis Penasihat ini berperanan sebagai penasihat kerajaan mengenai hal ekonomi dan kewangan negara mengikut kepakaran masing-masing.

Pasukan ini juga akan membantu dalam pembentukan polisi dan pelaksanaan janji manifesto 100 hari yang dilaksanakan oleh PH kepada rakyat. Demikian itu, tempoh hayat pasukan ini adalah 100 hari dan diketuai oleh pakar ekonomi, Dr Mohammed Abdul Khalid.

Pada masa yang sama, lima tokoh ini dilantik berikutan pengalaman dan kepakaran terbaik dalam bidang ekonomi.

Kenali lima tokoh Majlis Penasihat ini :

Tun Daim Zainuddin 

Berusia 80 tahun, Tun Daim Zainuddin merupakan bekas menteri kewangan Malaysia untuk tahun 1984 sehingga 1991.

Beliau dilantik semula menteri kewangan pada 1999 dan meletakkan jawatan itu pada 2001.

Daim juga pernah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan pernah memegang jawatan Bendahari UMNO dari tahun 1984 sehingga 1999.

Tan Sri Zeti Akhtar Aziz

Tan Sri Zeti Akhtar Aziz merupakan bekas Gabenor Bank Negara, berusia 70 tahun.

Pada tahun 1994, beliau telah dilantik sebagai Ketua Jabatan Ekonomi Bank Negara Malaysia.

Pada 1 September 1998, beliau dilantik sebagai Pemangku Gabenor Bank Negara Malaysia selepas Datuk Ahmad Mohd Don mengundurkan diri.

Kemudian pada 1 Mei 2000, beliau dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia ketujuh dan wanita pertama dilantik ke jawatan tersebut.

Tan Sri Hassan Merican 

Tan Sri Hassan Merican merupakan bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas, berusia 65 tahun.

Selain itu, beliau juga pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Pembangunan Antarabangsa untuk Republik Afrika Selatan.

Hassan bersama Petronas sejak 1989 sebagai Naib Presiden Kanan Kewangan, kemudian menjadi Presiden dan CEO pada tahun 1995.

Tan Sri Robert Kuok Hock Nien

Tan Sri Robert Kuok merupakan ahli perniagaan terkenal, berusia 95 tahun.

Kepentingan perniagaannya merangkumi daripada penanaman tebu di (Perlis Plantations Bhd), penapisan gula, pengilangan tepung, makanan haiwan, minyak dan perlombongan hingga ke kewangan, hotel-hotel, hartanah, perdagangan dan pengangkutan (International Shipping Corporation, Transmile Group) dan penerbitan.

Pada Julai 2017, Forbes menyenaraikan beliau sebagai individu terkaya di Malaysia dan kedua terkaya di Asia Tenggara.

Dr Jomo Kwame Sundaram

Ahli Ekonomi terkemuka, Prof Dr Jomo berusia 66 tahun, dikenali sebajai Jomo. Antara portfolio yang pernah disandang beliau adalah Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi pembangunan ekonomi.

Telah berkhidmat untuk PBB sejak tahun 2010.

Jomo sebelum ini lantang menyuarakan mengenai ketidakseimbangan ekonomi di bawah pemerintahan bekas presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

TINGGALKAN JAWAPAN

Sila hantar komen anda!
Sila masukkan nama anda disini