Sebelas negara telah menandatangani perjanjian perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik (Trans-Pacific Partnership-TPP), bagi menggerakkan tarif ke paras lebih rendah namun Presiden AS Donald Trump berusaha menaikkannya setelah menarik diri daripada perjanjian itu.

11 negara yang menandatangani perjanjian tersebut adalah:

  1. Australia
  2. Brunei
  3. Kanada
  4. Chile
  5. Jepun
  6. Mexico
  7. New Zealand
  8. Peru
  9. Malaysia
  10. Singapura
  11. Vietnam

Menteri-menteri luar negara tersebut secara rasminya telah merangka perjanjian yang kini dikenali sebagai Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership-CPTPP), yang merangkumi 14% daripada ekonomi global.

Malaysia diwakili oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri J. Jayasiri.

“Perjanjian ini bakal mewujudkan peluang perniagaan bagi perusahaan Malaysia, besar dan kecil, serta masih mengekalkan ruang untuk mencapai matlamat sosio-ekonomi kami,” kata Jayasiri.

Meskipun tanpa Amerika Syarikat, perjanjian tersebut bakal menjangkau pasaran dengan hampir 500 juta orang, menjadikannya salah satu daripada tiga perjanjian perdagangan terbesar di dunia, menurut statistik perdagangan Chile dan Kanada.

11 negara yang terlibat, diketuai oleh Jepun dan Kanada, memuktamadkan pakatan perdagangan yang disemak pada bulan Januari serta bakal berkuatkuasa apabila sekurang-kurangnya enam negara anggota telah menyelesaikan prosedur domestik untuk mengesahkan perjanjian itu

“Kami bangga untuk menunjukkan kepada dunia bahawa perdagangan yang progresif sedang bergerak ke hadapan disertai dengan perdagangan yang adil, seimbang, dan berprinsip serta mengutamakan rakyat”, kata Menteri Perdagangan Kanada, Francois-Phillippe Champagne.

A.S. telah berundur daripada perjanjian itu sebelum ia menjadi undang-undang manakala Presiden A.S. telah mengumumkan pelan tarifnya selepas beberapa jam proses menandatangani perjanjian itu dilaksanakan.

 

TINGGALKAN JAWAPAN

Sila hantar komen anda!
Sila masukkan nama anda disini