Luno, e-wallet yang diiktiraf secara global, berpusat di London menyatakan bahawa akaun banknya di Malaysia kini telah dibekukan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)  berikutan siasatan mengenai isu percukaian.

Disebabkan itu, ia tidak dapat memproses deposit dan pengeluaran di negara ini sejak beberapa minggu lalu. Akaun tersebut dipegang oleh entiti tempatan bergelar BitX Malaysia. Syarikat tersebut berkata bahawa LHDN telah meminta maklumat sulit pelanggannya di Malaysia (identiti, deposit/pengeluaran & transaksi).

Namun, seperti yang dinyatakan dalam polisi privasi syarikat tersebut, mereka berusaha untuk melindungi maklumat peribadi pelanggannya. “Kami bekerjasama dengan LHDN untuk menghadkan permintaan sulit yang  termaktub di dalam perjanjian yang telah dipersetujui oleh syarikat dan pelanggan” kata wakil Luno di Malaysia.

Luno turut menyatakan bahawa ia sangat menggalakkan pelanggannya mematuhi terma percukaian di Malaysia, termasuk pengisytiharan keuntungan mengikut prosedur yang ditetapkan jika perlu.

Bitcoin dan matawang digital merupakan inovasi yang baru serta melibatkan semua pihak berkuasa termasuk penggubal undang-undang, institusi kewangan, badan percukaian dan lain-lain.

Pengawalseliaan hal ini memerlukan pihak berkuasa bekerjasama bagi penyelesaian optimum serta memastikan industri ini selamat dan kondusif. Luno turut berkata bahawa ia menyokong langkah bagi penyediaan laporan dan pengawalseliaan pertukaran matawang digital oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Malahan ia dapat bekerjasama dengan baik bersama LHDN bagi menyelesaikan isu tersebut dalam masa yang singkat.

“Malangnya, kami tidak boleh memberikan anggaran masa bagi penyelesaian isu ini, tetapi kami akan memberitahu anda (pelanggan Luno) sebaik sahaja kami mempunyai kemas kini baru” tambahnya. 

TINGGALKAN JAWAPAN

Sila hantar komen anda!
Sila masukkan nama anda disini