YDP Agung Melancarkan Wang Kertas Peringatan Bank Negara

0
542

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V telah melancarkan wang kertas peringatan yang dikeluarkan oleh Bank Negara sempena ulang tahun ke-60 penandatanganan Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada Khamis 14 Disember 2017 di Muzium Galeri & Seni Bank Negara Malaysia.

Spesifikasi wang kertas peringatan ini adalah seperti berikut:

  1. Wang Kertas Sekeping RM600
    Nilai muka wang kertas bersaiz besar ini ialah RM600 dan harga jualannya RM1,700 sekeping.  Sebanyak 6,000 keping sahaja dicetak.
  2. Wang Kertas Bercantum 3 dalam 1 RM60
    Nilai muka wang kertas bercantum ini ialah RM180 dan harga jualannya RM500 sekeping. Sebanyak 6,000 keping sahaja dicetak.
  3. Wang Kertas Sekeping RM60
    Nilai muka wang kertas sekeping ini ialah RM60 dan harga jualannya RM120 sekeping. Sebanyak 60,000 keping sahaja dicetak.

Nota: Kesemua harga yang dinyatakan di atas sudah termasuk GST.

Reka Bentuk Wang Kertas

Reka bentuk wang kertas peringatan ini berdasarkan tema “Raja Payung Kedaulatan Negara”.

Reka Bentuk Hadapan

Singgahsana di-Raja dikelilingi potret 15 Yang di-Pertuan Agong yang bertakhta dari tahun 1957 sehingga kini tertera pada bahagian tengah wang kertas, melambangkan Malaysia sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan. Reka bentuk hadapan diilhamkan daripada lambang bulan sabit dan bintang pecah 14 Persekutuan yang tersemat pada Tengkolok Diraja.

Reka Bentuk Belakang

Reka bentuk bahagian belakang wang kertas peringatan ini memaparkan potret sembilan Raja-raja Melayu yang menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957. Pada bahagian kanan wang kertas ini terdapat bayangan laungan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merupakan arkitek Kemerdekaan Tanah Melayu dan Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Pameran untuk Orang Ramai dan Jualan

Contoh wang kertas ini akan dipamerkan kepada orang ramai mulai Khamis, 21 Disember 2017 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia dan di pejabat-pejabat Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu.

Untuk memudahkan pembelian, orang ramai boleh membuat tempahan dalam talian mulai 5 Januari 2018. Sekiranya jumlah tempahan melebihi jumlah yang ditawarkan, tempahan akan dilaksanakan melalui undian. Wang kertas peringatan yang bernombor siri istimewa akan dijual melalui lelongan awam pada 10 Mac 2018.

*Sumber: Bank Negara Malaysia (BNM)

TINGGALKAN JAWAPAN

Sila hantar komen anda!
Sila masukkan nama anda disini